KUCHING, 16 Feb: Jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat dipercayai menjadi punca kepada kejadian tanah runtuh di jalan alternatif dari Semaba menuju ke Kampung Haji Baki, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sarawak, Edward Muol berkata, jumlah air hujan luar biasa daripada kebiasaan yang mengalir ke arah cerun telah menyebabkan struktur permukaannya lemah lalu runtuh sehingga menutupi jalan.
“Bahan geologi di kawasan cerun itu menjadi penyebab ia runtuh. Sekiranya taburan air hujan luar dari kebiasaan, ia menyebabkan air meresap bahan geologi itu dengan mengakibatkan batu bertukar menjadi tanah.
“Satu lagi penyebab ialah potongan jalan tersebut yang sudah sekata dengan bahagian dasar. Tebing di situ dahulunya masih berbatu tetapi kini ia bertukar menjadi tanah sekali gus menyebabkan sampai masanya ia runtuh juga, “ katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Mengulas lanjut, Edward berkata susulan daripada kejadian itu, satu laporan akan dibuat oleh pihaknya kepada Majlis Perbandaran Padawan untuk menjalankan kerja-kerja pemotongan tebing bahagian yang runtuh serta penstabilan cerun.
Sementara itu, mengulas mengenai sekiranya kejadian seperti itu berupaya memberi ancaman kepada penduduk sekitar, Edward menolak kemungkinan itu memandangkan lokasi kediaman penduduk terletak jauh daripada kawasan cerun.
“Berdasarkan pemerhatian pihak kami, situasinya tidak kritikal kerana tidak melibatkan kawasan penempatan penduduk, cuma jalan raya sahaja yang terjejas dengan terpaksa ditutup.
“Setakat ini, tiada laporan kediaman yang terjejas dan berlaku kerosakan,” jelasnya.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat berterusan mengakibatkan insiden tanah runtuh berlaku di kawasan itu sehingga runtuhan menutupi jalan dengan tidak dapat dilalui kenderaan, namun tiada kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan dilaporkan. – TVS