KUCHING, 16 Feb: Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) cawangan Miri yang dibangunkan dengan kos berjumlah RM2.02 juta bakal beroperasi pada Oktober depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan OSEIC berkenaan sedang dilaksanakan selain memberi latihan kepada kakitangan dan pengajar.
Menurutnya, fasiliti OSEIC terbabit akan menjadi pusat bagi pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas di Bahagian Miri seperti Limbang, Baram dan Lawas.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan Negeri kerana telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM2.02 juta bagi mewujudkan OSIEC Miri.
“Kini OSIEC Miri sedang dalam kerja-kerja mengubah suai bangunan dan pada masa sama memberi latihan untuk kakitangan dan Insya-Allah pada bulan 10 kita dah boleh beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Graduasi Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) Sarawak di Hotel Waterfront Kuching pada Jumaat.
Tambahnya, OSIEC Miri bakal menjadi fasiliti pusat sehenti yang pertama di daerah tersebut memandangkan Miri mencatatkan pendaftaran kedua tertinggi bagi pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas iaitu sebanyak 176 orang murid pada tahun 2023.
Fatimah memberitahu inisiatif tersebut akan membuka lebih banyak peluang bagi kanak-kanak ini agar mempunyai akses kepada diagnosis awal, program intervensi yang berkesan dan sesi terapi di seluruh Sarawak.
Untuk rekod, seramai 91 pelajar OSEIC daripada OSEIC Kuching dan OSEIC Dalat bergraduasi dan akan meneruskan pengajian sama ada di arus perdana atau melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Sebanyak 27 orang murid akan mengikuti pembelajaran secara arus perdana manakala selebihnya orang murid akan melalui program PPKI.
Dalam perkembangan lain, Fatimah mendedahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tiada waris boleh ditempatkan di Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) Sarawak setelah projek tersebut siap.
SNCC adalah pusat yang akan menyediakan perkhidmatan diagnosis, terapi, pendidikan, latihan vokasional, program bengkel dan kemudahan fasiliti yang komprehensif untuk komuniti berkeperluan khas di Sarawak.
Menurut Fatimah, SNCC akan menjadi yang pertama di kepulauan Borneo yang menyediakan komponen perkhidmatan untuk golongan berkenaan daripada awal usia hingga akhir hayat mereka.
“Sekarang ini individu kurang upaya yang tak ada waris, ibu bapa sudah meninggal maka kita akan tempatkan mereka di Semenanjung kerana tak ada satu pun di Sabah Sarawak.
“Jadi misalnya tak ada waris, mereka akan ditempatkan di SNCC seperti rumah warga emas di Rumah Seri Kenangan,” katanya.
Untuk rekod, SNCC yang terletak di Pusat Pemulihan Samarahan dijangka akan siap pada tahun 2026.
SNCC yang menelan belanja sebanyak RM50 juta itu merupakan salah satu Inisiatif Kerajaan Negeri (IKN). -TVS