LIMBANG, 16 Feb: LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) kini dalam proses memeriksa dan membaiki kebocoran saluran paip bekalan air sepanjang 33 kilometer dari Loji Perawatan Air Berawan ke Tedungan.
Pengerusi Lembaga Pengarah LAKU Datuk Nelson Balang Rining berkata sebanyak 12 kali kerja baik pulih kebocoran di saluran paip sudah dijalankan sejak 1 Februari hingga hari ini.
Kawasan kebocoran saluran paip itu melibatkan Kampung Bakol, Bukit Luba, Jalan Penganan dan terkini di kawasan hutan Kampung Palas.
“Kita sedang mempercepatkan proses pembaikan dan mengikuti pelepasan air lock dari paip saluran utama air dan ia dijangka selesai dalam tempoh 24 jam akan datang,” katanya.
Beliau ditemui semasa Program Penyerahan Bantuan Air Minuman oleh LAKU Management Sdn Bhd Pejabat Kawasan Limbang di Masjid Kampung Telahak, hari ini.
Jelasnya, apabila proses itu selesai, bekalan air akan kembali normal secara beransur-ansur di semua kawasan yang terjejas melibatkan 13 kampung.
Kampung-kampung terjejas ialah Tedungan, Kampung Mengatai, Ulak, Belading, Anak Bukit, Kuala Awang,Binjai, Ipai, Merasam Bumbun, Meritam, Lubok Sigantang/Aur, Telahak, dan Kampung Lubok Piasau.
Dalam pada itu katanya pihaknya akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri bagi menganti saluran paip lama di sepanjang Loji Rawatab Air Berawan hingga Tedungan.
Ujarnya saluran paip yang ada sekarang sudah lama mudah rosak dan bocor selain tidak dapat menampung kapasiti air bersih yang dibekalkan. – TVS