SARIKEI, 16 Feb: Sepasang suami isteri maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan memasuki parit di Jakar, Lebuhraya Pan Borneo di sini, hari ini.
Insiden pada kira-kira 1.40 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Chai Chit San, 63, yang memandu kenderaan itu dan isterinya, Yong Kui Fah, 55, di bangku penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Sementara anak lelaki mereka yang berusia 20 tahun yang berada di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, ketika kejadian, tiga sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari Bintulu menghala ke Kuching.
“Bagaimanapun, setibanya di lokasi, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit bahu jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahmudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.45 tengah hari sebelum mengarahkan sepasukan bomba ke lokasi untuk melakukan operasi bantuan.
“Untuk mangsa pertama pasukan bomba menggunakan cara membuka pintu penumpang belakang bagi mengeluarkan mangsa yang cedera, manakala mangsa kedua pula adalah pemandu kenderaan dan mangsa dikeluarkan menggunakan teknik menanggalkan bumbung.
“Sementara itu, kita menggunakan teknik ‘Dashboard Roll’ untuk mengeluarkan mangsa ketiga. Namun sebaik sahaja dikeluarkan, dua daripada mangsa iaitu sepasang suami isteri disahkan meninggal dunia di lokasi,” ujarnya. – TVS