KUCHING, 16 Feb: Baraj Kuching akan dipantau secara berterusan bagi mengawal keadaan banjir yang berlaku di beberapa kawasan yang terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemantauan akan dilakukan bilik operasinya di Bangunan Wisma Bapa Malaysia dari semasa ke semasa.
“Matlamat baraj itu adalah untuk mengawal kemasukan dan keluaran air, kerana kalau selalunya banjir kilat berlaku dan apabila air pasang tinggi bertembung dengan air hujan yang lebat maka dari situlah akan berlakunya banjir kilat.
“Jadi tujuan baraj kalau berlaku air pasang tinggi ia akan ditutup untuk mengawal kemasukan air,” kata beliau.
Uggah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sinar Budi baru di sini, hari ini.
Dalam pada itu Uggah menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak komited membantu mangsa banjir agar mereka dalam keadaan yang baik.
“Maknanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kita akan melakukan tugas sebaik mungkin untuk memastikan mangsa banjir dapat diuruskan dengan baik,” ujar beliau. -TVS