BINTANGOR, 16 Feb: Sekurang-kurangnya 60 orang penduduk terjejas berikutan lapan penempatan di Nanga Entaih, Pakan di sini dilanda banjir kilat pagi tadi.
Ketua Balai dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Nicholas Belulin berkata, insiden kira-kira jam 1 pagi itu turut menjejaskan sebuah sekolah rendah dan klinik kesihatan Nanga Entaih.
Menurutnya, kejadian yang dipercayai berpunca daripada limpahan Sungai Entabai itu mengakibatkan paras air mencecah ketinggian hingga 1.8 meter.
“Bagaimanpun tiada pemindahan dilakukan kerana penduduk sempat bergerak ke kawasan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.
“Kejadian turut menenggelamkan enam buah kereta yang diparkir di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nicholas, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Kita melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas dengan menggunakan bot penduduk untuk mendapatkan maklumat.
“Ketika ini keadaan masih terkawal namun, kita mengingatkan penduduk agar sentiasa berwaspada jika hujan lebat masih berterusan,” katanya.-TVS