KUCHING, 16 Feb: Kerjasama yang baik daripada mangsa banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sinar Budi di sini amat dihargai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Timbalan Premier Sarawak itu juga bersyukur berikutan kerjasama mangsa yang terjejas disifatkan selari dengan keutamaan Kerajaan Sarawak iaitu untuk menyelamatkan nyawa mereka.
“Saya berpuas hati juga dengan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam (APM),Bomba, Unit Keselamatan Negeri Sarawak dan semua agensi yang telah membantu.
“Tujuan utama kita adalah menyelamatkan nyawa, maka mereka perlu berpindah dan saya senang hati kerana mereka bersedia berpindah walaupun terpaksa meninggalkan kediaman mereka,” kata beliau.
Uggah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sinar Budi baru di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan keadaan banjir yang berlaku di sekitar Kuching mula menunjukan tanda-tanda pemulihan sekiranya tiada ancaman hujan lebat berlaku lagi dalam tempoh terdekat ini.
“Sama-sama kita berdoa semoga segalanya dipermudahkan,” ujar beliau. -TVS