KUCHING, 15 Feb: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes rasuah berprofil tinggi yang lain sekiranya ada pihak yang berani tampil menyalurkan maklumat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini termasuklah kes lama dan mereka akan bertindak berdasarkan butiran.
“Kadang-kadang kami (SPRM) tidak ada akses kepada informasi itu kerana benda sudah lama berlaku.
“Kita (yang merupakan) generasi baharu ini tidak tahu. Memang benar, saya hidup pada zaman itu namun saya tidak terlibat dalam sistem itu. (Sekarang) tindakan perlu diambil (kerana) sudah menjadi tanggungjawab saya,” katanya.
Azam berkata demikian ketika menjadi tetamu program Dialog TVS bertajuk Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai yang akan disiarkan pada 8.45 malam ini di saluran 122.
Dihoskan oleh Najib Imran dan Khairunnisa Kasnoon, Azam menjawab beberapa soalan panas berhubung tindakan memerangi rasuah oleh SPRM termasuk melibatkan kes berprofil tinggi. -TVS