KUCHING, 15 Feb: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan RM500,000 di FAMA FEST 2024 @SARAWAK yang akan diadakan di Bintang Mall, Miri.
Pengarah FAMA Sarawak, Ramli Mat Sani berkata, pihaknya juga menjangkakan kira – kira 25,000 pengunjung akan menghadiri acara selama tiga hari itu yang bermula pada 1 Mac.
Jelas beliau, FAMA FEST 2024 @Sarawak akan memberi peluang pendedahan kepada usahawan untuk meningkatkan daya saing serta menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran pertanian.
“Ini juga akan meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai peranan FAMA sebagai peneraju pembangunan pemasaran hasil pertanian negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, antara komponen yang menjadi tarikan utama Program FAMA FEST 2024 @SARAWAK termasuk demo produk Agromas FAMA dan produk usahawan, pertandingan pertunjukan fesyen kanak – kanak, pertandingan gubahan buah-buahan serta diserikan dengan persembahan nyanyian oleh artis tempatan Sarawak.
“Kita juga akan mengadakan Jualan Agro MADANI yang merupakan program semasa FAMA bagi mengurangkan harga di peringkat runcit dan pasaran. Menariknya, FAMA akan menyediakan KOMBO MADANI dengan harga yang istimewa,” tambahnya.
Tambah beliau, FAMA FEST 2024 @SARAWAK menghimpunkan seramai 34 usahawan pemasar yang terdiri terlibat daripada usahawan Sarawak dan dari Semenanjung Malaysia.
Sementara itu beliau memberitahu, FAMA juga menjemput ejen dari Brunei, Thailand, China, Kemboja dan Hong Kong untuk bertemu usahawan tempatan bagi mempromosikan produk kepada pasaran luar. -TVS