BINTULU, 15 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan permohonan bagi membina Dewan Serbaguna dan surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Assyakirin yang melibatkan peruntukan sekitar RM27 juta, di sini, hari ini.
Beliau mendedahkan dua projek berkenaan telah dipohon oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming untuk kemudahan penduduk setempat.
“Wakil rakyat di kawasan ini iaitu Johnny Pang sangat sayang dan prihatin dengan golongan belia. Dengan sokongan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan wakil rakyat yang lain, mereka hendak membangunkan belia dalam bidang sukan dengan cadangan membina Dewan Serbaguna dengan kos RM25 juta. Jadi, luluskan.
“Tidak hanya itu, Sarawak ini unik kerana ada masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Lihat saja, Johnny Pang minta buat surau di SK Assyakirin pada majlis perayaan Tahun Baru Cina. Inilah semangat yang kita mahu. Jadi kita luluskan RM1.5 juta untuk surau tersebut,” katanya.
Beliu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran DUN Tanjung Batu dan SUPP Cawangan Bintulu di sini, pada Khamis.
Abang Johari dalam pada itu mengulangi bahawa Sarawak sememangnya prihatin terhadap semua kaum dan agama iaitu dengan mewujudkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Sementara itu, Johnny Pang memaklumkan pembinaan dewan serbaguna di sini akan mencipta lebih banyak pencapaian melibatkan golongan belia pada masa hadapan terutamanya dalam bidang sukan.
“Manakala, dengan kemudahan keagamaan ini (Surau SK Assyakirin) saya amat yakin ia amat penting untuk saudara-saudara Islam kita khususnya yang berkhidmat pelajar yang menuntut di sekolah tersebut,” ujarnya.
Johnny memaklumkan, SUPP Cawangan Bintulu sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan GPS untuk memastikan bahawa banyak isu tempatan dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik. -TVS