BINTULU, 15 Feb: Sarawak bakal mempunyai kilang pembuatan grafit yang pertama di Asia Tenggara apabila ia siap dibina di Taman Perindustrian Samalaju di sini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kilang bernilai USD1.5 bilion (kira-kira RM6.3 bilion) itu akan membekalkan grafit bagi kegunaan pasaran bateri kenderaan elektrik (EV) yang kini berkembang pesat.
“Grafit ini digunakan oleh enjin kereta yang menggunakan bahan api sel hidrogen. Apabila banyak kereta di Asia Tenggara yang menggunakan hidrogen, mereka sudah semestinya memerlukan grafit.
“Ini bermakna negara pengeluar sel bahan api hidrogen memerlukan grafit ini dan kita akan menjadi pengeluar grafit pertama di Bintulu, Sarawak,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming dan SUPP Cawangan Bintulu di sini, hari ini.
Abang Johari turut menyatakan dua projek lain yang sedang diusahakan oleh kerajaan Sarawak di Bintulu iaitu loji ammonia bernilai USD3 bilion dan penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Persekutuan yang akan direalisasikan pada Jun ini.
SEDC Energy Sdn Bhd dan Gallois New Energy Materials (M) Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2 Feb bagi membina kilang pembuatan grafit, melibatkan pembangunan tanah seluas 380 ekar.
Pembinaan akan dilaksanakan dalam tiga peringkat, bermula pada 2025 dengan permintaan kuasa sebanyak 100MW dan secara beransur-ansur meningkat kepada 500MW selepas tiga tahun untuk mencapai pengeluaran tahunan sebanyak 400,000 tan produk. – TVS