Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
The crisis at the Red Sea has minimal impact on Malaysia’s shipping with exporters stating that they only face slight disruption with moderate freight cost increase. Photo, AFP.

Krisis Laut Merah beri impak kecil terhadap perkapalan, pelabuhan Malaysia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Kesan krisis Laut Merah terhadap perkapalan dan pelabuhan Malaysia adalah kecil berbanding negara-negara Eropah yang banyak bergantung kepada eksport Asia, sekali gus perlu menanggung kos perkapalan yang lebih tinggi, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Bank pelaburan itu berkata pengeksport Malaysia secara amnya mengalami gangguan yang lebih terhad dengan kenaikan kos penghantaran yang sederhana.

“Walaupun wujud cabaran dalam rantaian bekalan serta kenaikan kos pengangkutan, prospek perdagangan Malaysia sebaliknya kekal positif serta stabil. Malah, pelabuhan Malaysia juga pernah mengalami gangguan minimum dengan kesan terhad bagi laluan perdagangan ke Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Namun, pada masa sama, Maybank IB berkata segelintir pengimport dalam industri kimia, jentera dan automotif mengalami kelewatan rantaian bekalan yang menjejaskan garis masa bagi pengeluaran masing-masing.

Bank pelaburan itu bagaimanapun tidak menjangkakan kenaikan kadar pengangkutan yang ketara bagi laluan Laut Merah itu berikutan ciri ‘backhaul’ atau hala balik, kecuali bagi produk mewah seperti wain dan makanan ‘gourmet’ yang terhad serta khusus yang mungkin tertakluk kepada kadar pengangkutan kontena lebih tinggi.

“Secara keseluruhannya, gangguan (krisis) ini secara amnya adalah positif bagi sektor perkapalan. Kadar (sewa) kontena global, terutamanya dari Asia Timur ke Eropah, dijangka kekal tinggi dan stabil pada paras semasa iaitu dua hingga empat kali lebih tinggi berbanding paras terendah pada November 2023,” katanya.

Maybank IB menyifatkan kenaikan kadar itu disebabkan terutamanya oleh tempoh perjalanan dan kos operasi berbanding kekangan kapasiti.

“Kadar bagi intra-Asia dijangka lebih stabil, meningkat sedikit daripada paras sebelum pandemik manakala kadar domestik berdepan gangguan yang minimum,” katanya.

Berikutan itu, Maybank IB mengekalkan saranan “beli” terhadap MISC Group dan Westports Holdings dengan kesan minimum dilihat bagi MISC kerana tumpuannya terhadap sewaan jangka panjang.

Merujuk Bumi Armada, bank pelaburan itu mengunjurkan syarikat berkenaan mencatat keuntungan teras bersih tertinggi sebanyak RM844 juta bagi tahun kewangan 2024.

Berikutan itu, saranan belian dikekalkan namun harga sasarannya diturunkan kepada 65 sen.

“Ini (bagaimanapun) bergantung kepada sama ada kemudahan penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung Kraken telah diatasi oleh Bumi Armada selain pengiktirafan permulaan sewa kapal kosong bagi 30 peratus usaha sama FSPO Sterling V mulai April 2024 serta kos kewangan yang berkurangan,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan