KUCHING, 15 Feb: Lapan kru berjaya diselamatkan dalam insiden kapal karam di posisi sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu, pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata semua kru kapal Bos Azlina merupakan lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun.
Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima isyarat daripada kapal berkenaan pada 11.56 pagi.
“Maklumat awal yang diterima aset maritim Bot Kilat 44 memaklumkan vesel tersebut dilaporkan telah separuh ditenggelami air dan dilaporkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sejurus laporan diterima, Bot Kilat 44 bergegas ke lokasi memberi bantuan dan teksi air (Kuda Laut 1) juga dihubungi operasi penyelamatan.
Semua kru berjaya diselamatkan dengan bantuan pasukan teksi air dengan pantauan Maritim Malaysia sekitar 12.30 tengah hari. – TVS