KUCHING, 15 Feb: InvestSarawak akan memainkan peranan penting sebagai fasilitator dan penasihat dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada semua pelabur asing dan domestik.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penubuhan entiti itu oleh Kerajaan Sarawak bertujuan menyelaraskan keperluan pelabur yang berhasrat untuk menanam modal di Sarawak.
“InvestSarawak, di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak adalah pusat sehenti (OSC) yang bertujuan untuk mengubah landskap pelaburan, serta meningkatkan perdagangan dan tarikan bakat untuk Sarawak.
“Mereka akan bertindak sebagai fasilitator dan penasihat untuk memberikan pandangan yang tidak ternilai kepada semua pelabur,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran InvestSarawak dan Majlis Makan Malam Hari Perniagaan Negara Kesatuan Eropah 2024 di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, integrasi Sarawak dalam rantaian nilai global adalah penting bagi kerajaan negeri meningkatkan penciptaan nilai domestik melalui strategi pelaburan dan perdagangan yang disasarkan untuk membolehkan Sarawak kekal berdaya saing.
Dengan infrastruktur yang baik, dasar kerajaan yang menyokong dan kedudukan strategik negeri ini di Asia Tenggara, Sarawak menawarkan peluang unik untuk usaha niaga pelaburan.
Sementara itu, mengulas mengenai Hari Perniagaan EU 2024, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, acara itu yang menghimpunkan panel dari dalam dan luar negara diyakini berupaya melahirkan lebih banyak idea dan pemikiran baharu bagi membantu sektor ekonomi dan perniagaan Sarawak dan EU.
Forum yang diadakan pada Rabu menyaksikan penyertaan lebih 300 peserta dengan penglibatan lebih daripada 100 syarikat dari EU.
“Tawaran unik Sarawak dan pasaran Eropah yang pelbagai menawarkan potensi besar untuk perkongsian yang saling menguntungkan dalam pelaburan dan perdagangan.
“Sepanjang dekad lalu, terdapat 19 pelaburan EU di Sarawak, khususnya dari Belanda, Belgium dan Jerman, berjumlah RM10.66 bilion dalam sektor seperti logam dan produk petroleum,” ujarnya. – TVS