KUCHING, 15 Feb: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menjadi lokasi tumpuan kepada delegasi Kesatuan Eropah (EU) di Sarawak, di sini sempena lawatan hari ketiga mereka pada Khamis.
Ketibaan seramai 18 orang peserta delegasi berkenaan hari ini di pusat pengumpulan sumber biologi negeri itu telah disambut oleh kakitangan SBC sejurus itu mereka dibawa melawat taman biodiversiti yang mempunyai kepelbagaian spesies tumbuhan yang berpotensi membangunkan produk berasaskan bio, komersial serta penemuan ubat-ubatan.
Rombongan tersebut kemudiannya dibawa melawat fasiliti penanaman alga seluas 0.1 hektar serta diberi taklimat mengenai pengeluaran bio-jisim alga untuk penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Seterusnya mereka melawat bangunan Penyelidikan Biodiversiti Bersepadu bagi melihat pameran produk penjagaan diri, herba dan perubatan di bawah projek LitSara yang terdiri daripada komuniti Pribumi Sarawak.

Lawatan di SBC diakhiri dengan acara simbolik penanaman anak pokok Kembang Semangkuk yang disempurnakan oleh Duta Besar Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker di perkarangan pusat berkenaan sebelum meneruskan lawatan berikutnya ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Difahamkan, delegasi berkenaan akan mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Jumaat.
Terdahulu, mereka telah menghadiri Hari Perniagaan Negara Kesatuan Eropah (EU) 2024 anjuran bersama Eurocham dan InvestSarawak di Borneo Cultures Museum serta Majlis Makan Malam Pelancaran InvestSarawak semalam. – TVS