NIBONG TEBAL, 15 Feb: Dua penunggang maut apabila dua motosikal bertembung dipercayai selepas salah sebuah motosikal itu ditunggang melawan arus di Jalan Besar Sungai Jawi di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, penunggang motosikal Yamaha, Mohammad Asraf Denial Mohd Mokhtar, 22, dan penunggang SYM, G. Ramachandran, 57, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian penunggang motosikal SYM yang menunggang melawan arus.
“Motosikal itu dari arah Nibong Tebal telah melawan arus untuk masuk ke Taman Jawi Jaya sebelum dilanggar dari depan iaitu arah Sungai Bakap oleh motosikal Yamaha.
“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua penunggang maut di lokasi kemalangan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, polis sedang mengesan saksi awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS