KUCHING, 15 Feb: Wakil Sarawak, Awang Mohd Faiz Ahsraf Awang Mohamad Rakawi terpilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di Long Beach, California, Amerika Syarikat tahun ini.
Pengarah Urusan MyCreative Promotion Sdn Bhd, Romli Bidin berkata, Awang Mohd Faiz akan bertanding menerusi kategori vokal pada pertandingan itu yang dijadual berlangsung Jun depan.
Ujarnya, penyertaan tahunan Malaysia dalam WCOPA telah diluluskan oleh kabinet pada 2008 di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.
“WCOPA merupakan pertandingan gaya Oimpik antarabangsa yang terulung untuk seni persembahan dengan penekanan pada pendidikan dan pengalaman profesional pemain industri hiburan Hollywood,” katanya.
Pada tahun lepas, pemain biola dari Sibu, Sarawak Imran Azim Iskandar meraih pencapaian membanggakan negara dan Sarawak apabila dinobatkan juara dunia pada kejohanan itu.
Sementara itu, Romli berkata, Malaysia mula menyertai WCOPA pada 2005 dan meraih banyak pingat emas malah pernah memenangi hadiah Grand Prix.
WCOPA tahun ini akan disertai peserta dari 60 negara. -TVS