SIBU, 14 Feb: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak tidak akan bersikap sombong walaupun ada yang menganggap wilayah ini sebagai teras (linchpin) kepada kestabilan politik Malaysia ketika ini.
Premier Sarawak itu berkata, Sarawak akan kekal merendah diri kerana mahukan kestabilan.
“(Sarawak juga mahukan) kerajaan yang kukuh serta tumpuan diiberikan kepada keperluan rakyat supaya Sarawak akan makmur menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Tahunan Tahun Baharu Cina Persatuan Cina Bersatu Sibu (UCA) di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta menteri – menteri dan timbalan menteri Kerajaan Sarawak.
Abang Johari teruskan kunjungan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Sibu
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, masa depan ekonomi Sarawak sangat cerah menerusi kestabilan politik yang dinikmati ketika ini.
Sehubungan itu Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu politik mesti diurus dengan baik.
“Tiada gunanya kita bergaduh sesama sendiri. Itulah yang berlaku di Semenanjung Malaysia ketika ini,” katanya.
Tambah Abang Johari, sejak 2021 hingga tahun lepas, pertumbuhan ekonomi Sarawak berada di landasan yang betul.
“Kita dapat menyusun semula ekonomi dan akan meneruskan penstrukturan semula pada 2024 yang juga merupakan tahun naga. Kita (Kerajaan Sarawak) mesti bertindak seperti naga, begitu juga dengan rakyat Sarawak,” katanya.
Sementara itu Abang Johari berkata, pembangunan Sarawak ketika ini berlandaskan tiga tonggak yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi, rakyat dan alam sekitar.
“Kita perlu beralih kepada ekonomi berdasarkan apa yang sedang berlaku di seluruh dunia.
“Nilai inklusiviti iaitu membangunkan semua rakyat tanpa mengira latar belakang juga perlu dilaksanakan kerana semua berhak menikmati kemakmuran ekonomi.
“Seterusnya ialah kemampanan. Kita mahu pembangunan yang selari dengan cabaran global iaitu perubahan iklim. Ekonomi kita mesti ke arah kemampanan,” ujarnya.
Abang Johari teruskan kunjungan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Sibu
Abang Johari berkata, antara pencapaian yang bakal diperoleh Sarawak pada ini ialah mengambil alih Pelabuhan Bintulu menjelang Jun dan menubuhkan Pihak Berkuasa Pelabuhan untuk menguruskan semua pelabuhan,.
“Selain itu Sarawak juga akan mengambil alih MASwing dan mewujudkan syarikat penerbangan milik kerajaan serta mempunyai bank perdagangan sendiri,” tambahnya. -TVS