KUCHING, 14 Feb: Pembukaan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan dijangka akan dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun lagi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kelulusan pembinaan pusat itu telah diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
Jelas beliau, operasi pusat berkenaan kelak akan selari dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg komited untuk mewujudkan sebuah Bandar Metropolis Penjagaan Kesihatan di Sarawak.
“Bandar itu kelak akan menempatkan pusat rawatan dan diagnos terbaik meliputi kepakaran doktor terlatih, peralatan perubatan terkini serta dua universiti berdekatan yang akan menjalankan kajian berkaitan perubatan dan industri berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Perubatan di Sarawak 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh.
Sementara itu, Lukanisman menambah, satu jawatankuasa telah ditubuhkan membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM) Kementerian Kewangan (MOF) dan Kerajaan Sarawak ke arah merealisasikan pembinaan pusat kanser berkenaan.
“Proses tersebut sedang berjalan dan proses awal reka bentuk apabila mekanisme (untuk pembinaan) sudah diputuskan,” katanya.
Sesuatu yang unik mengenai pembinaanya kata Lukanisman, ini kali pertama dalam sejarah apabila kerajaan negeri (Kerajaan Sarawak) memberikan keseluruhan pakej kewangan untuk membina pusat tersebut. -TVS