SIBU, 14 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan besar akan disediakan untuk membangunkan semula bandar ini.
Abang Johari memaklumkan, Kerajaan Sarawak merancang untuk menjadikan Sibu sebagai bandar pintar.
Jelas beliau, buat masa ini jumlah peruntukan sebenar untuk projek berkenaan masih tidak dapat didedahkan kerana belum dimuktamadkan.
“(Namun) saya boleh beri jaminan kita akan bangunkan Sibu yang memerlukan kerjasama daripada rakyat.
“Saya komited untuk menjadikan Sibu seperti Amsterdam.
“Jika Amsterdam terletak di bawah paras laut, Sibu pula berada di bawah paras sungai. Oleh itu, kita perlu menguruskan struktur geologi Sibu,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Tahunanan Tahun Baru Cina Persatuan Cina Bersatu Sibu (UCA) di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Abang Johari teruskan kunjungan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Sibu
Ke arah menjayakan rancangan pembangunan Sibu, Abang Johari berkata, kerajaan akan mendapatkan pakar yang mana dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun.
Tambah beliau, Bandar Sibu juga wajar distruktur semula kerana sering dilanda banjir. -TVS