KUCHING, 14 Feb: Sarawak Forestry Corporation (SFC) tidak menolak kemungkinan faktor ombak besar yang membadai Taman Negara Bako merupakan punca runtuhnya batu tunggul ikonik yang dikenali sebagai The Cobra Head Sea Stack di situ.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abang Arabi Abang Aimran berkata, kejadian itu dilaporkan oleh seorang pemandu taman negara itu pada pukul 4 petang semalam.
Menurut beliau, kejadian ombak besar baru-baru ini merupakan kemuncak yang menyebabkan kejadian runtuhan.
“Tungul laut ini merupakan satu daripada khazanah geologi negara yang terbentuk daripada batu pasir melalui proses hakisan selama berjuta tahun lalu.
“Pembentukan uniknya telah menarik perhatian ramai pengunjung, kejadian tanjung berbatu yang membentuk tunggul laut yang unik dan gerbang laut itu sentiasa memukau pelancong,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sarawak akan terus giat teroka keindahan di Bako – Abdul Karim
Semalam, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kerajaan Sarawak akan meneroka khazanah serta keindahan lain di Taman Negara Bako bagi mengekalkan kawasan itu sebagai lokasi pelancongan.
Ini kerana beliau percaya masih terdapat bentuk batuan unik yang belum diteroka di situ dan pihaknya akan meneliti kaedah untuk menjaga batu-batu yang lain.
Sarawak akan terus giat teroka keindahan di Bako – Abdul Karim
Sementara itu, Abang Arabi meluahkan rasa sedih dan terkejut atas runtuhan batu tunggul itu yang turut memberi sumbangan kepada industri pelancongan tempatan. -TVS