Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang kanak - kanak perempuan Palestin dilihat berhampiran khemah di sebuah kem di Rafah petang semalam. Foto, AFP.

Lebih sejuta penduduk Gaza di Rafah umpama menanti maut – PBB

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Lebih sejuta penduduk Gaza kini bersesak-sesak di Rafah umpama menanti maut, menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths.

“Mereka hanya mempunyai sedikit makanan, hampir tiada akses kepada rawatan perubatan, tiada tempat tidur dan tiada tempat selamat untuk dituju,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Selasa.

Indonesia kutuk serangan udara Israel di Rafah

Griffiths berkata situasi di Rafah yang sebelum ini dibimbangi bakal terjadi, kini sudah berlaku dengan pantas.

Setakat ini, lebih 28,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan.

Selama lebih empat bulan, petugas kemanusiaan telah membantu mereka yang memerlukan meskipun berdepan pelbagai risiko dan trauma.

Beliau berkata risiko yang perlu diharungi, termasuk ditembak, diacu dengan senjata api, diserang dan dibunuh.

“Tidak kira seberapa banyak pengorbanan, ia tetap tidak mencukupi untuk memastikan jutaan orang terus hidup, mendapat makanan dan dilindungi semasa bom-bom digugurkan dan bantuan terhalang.

“Saya telah suarakan sejak berminggu-minggu lalu bahawa tindak balas kemanusiaan kita semakin lumpuh. Hari ini, saya memberi amaran sekali lagi: Operasi ketenteraan di Rafah boleh membawa kepada lebih banyak pembunuhan di Gaza. Operasi kemanusiaan sudah di ambang kemusnahan,” katanya.

Griffiths menegaskan bahawa agensi bantuan tidak mempunyai jaminan keselamatan, bekalan bantuan dan kapasiti kakitangan untuk mengekalkan operasinya.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa telah diberi amaran terhadap akibat yang bakal berlaku bagi sebarang pencerobohan darat di Rafah dan kerajaan Israel tidak boleh terus mengabaikan gesaan ini.

“Perang itu mesti ditamatkan,” katanya. -TVS

Tags: pbb, Rafah

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan