LIMBANG, 13 Feb: Menjelang Ramadan tidak lama lagi, empat penghuni diuji apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bakol dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran yang meranapkan keseluruhan rumah berkenaan.
Ketua Zon Tujuh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira – kira 18 kilometer (km) dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.13 petang.
“Setiba pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang telah terbakar keseluruhannya.
“Tiada mangsa cedera kerana kesemua penghuni berjaya keluar dari rumah itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ramlan berkata, anggota bomba mengambil 16 minit untuk memadam api manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. -TVS