BALING, 13 Feb: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap dinding dapur dalam pembinaan yang tumbang di Kampung Padang Lalang Besah, Kuala Ketil di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila ibu mangsa terdengar bunyi kuat dari tempat dua anaknya bermain berdekatan ruang dapur tambahan yang sedang dalam pembinaan.
Katanya, ketika kejadian, wanita itu sedang memasak dan telah beberapa kali memberi amaran kepada anak-anaknya agar tidak bermain di kawasan pembinaan yang dibuat suaminya sendiri itu.
“Kemudiannya wanita itu mendapati seluruh badan salah seorang anaknya telah ditimpa dari belakang dengan batu-bata dinding dan mengalami pendarahan.
“Seorang lagi turut ditimpa bata pada belakang badan, tetapi hanya cedera ringan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Shamsudin, ibu mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada jiran untuk menghantar mangsa ke klinik kesihatan Tawar di sini kerana suaminya sedang bekerja.
“Anaknya yang berusia lapan tahun bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa tiba di Klinik Kesihatan Tawar kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiya, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – TVS