IPOH, 11 Feb: Seorang tukang jahit wanita berdepan detik cemas selepas rantai lehernya diragut seorang lelaki yang berpura-pura mahu menjual susu lembu di Tanjung Rambutan di sini pada 8 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 38 tahun didatangi suspek tidak dikenali di rumahnya yang mengaku penjual susu kira-kira pukul 9.10 pagi.
“Semasa kejadian, wanita itu berada seorang diri di rumah sebelum suspek bertindak agresif dengan menolaknya ketika berurusan dengan mangsa.
“Suspek merentap dua utas rantai emas iaitu rantai perkahwinan dan pemberian bapa mangsa sambil mengugut akan mencederakan jika dia minta pertolongan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yahaya, suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, manakala mangsa tidak mengalami kecederaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Fadli Ahmad di talian 019-250 0019 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – TVS