KUCHING, 11 Feb: Panitia Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 di sini merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang membantu kelancaran proses pengundian awal hari ini.
Ketua Penitia Pemilihan Luar Negeri (Bahagian Kuching) Lucky Fathria Jatnika berkata, sokongan berterusan diberikan sangat dihargai pihaknya kerana membolehkan rakyat Indonesia di Sarawak mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara itu.
“(Sememangnya) Kerajaan Sarawak selama ini sangat membantu proses pengundian pilihan raya Indonesia.
“(Kita juga menerima) bantuan daripada agensi (lain termasuk) Polis Diraja Malaysia yang memastikan kelancaran proses pengundian awal PEMILU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada proses pengundian awal di Pejabat Konsulat Jenderal Indonesia di sini, hari ini.
Siapapun dipilih sebagai Presiden Indonesia, hubungan dengan Malaysia tetap kukuh – Duta
Sementara itu, Lucky Fathria memaklumkan seramai 64,900 rakyat Indonesia yang menetap di Sarawak telah mendaftar sebagai pemilih.
“Jumlah tersebut berdasarkan data yang dikumpul sejak Disember 2022,” tambahnya. -TVS