KUCHING, 11 Feb: Pentadbiran Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diyakini akan terus membela kebajikan penduduk pelbagai lapisan bangsa dan agama, kata Datuk Lo Khere Chiang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang itu berkata, komitmen berkenaan dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak bagi meringankan beban rakyat.
Kata beliau, ini jelas membuktikan kepimpinan Abang Johari yang mengutamakan kebajikan rakyat.
“Sekarang kita tengok kerajaan (Sarawak) di bawah (pentadbiran) Abang Johari sudah menjaga perumahan (rakyat apabila) menyediakan, memberi sewa dan menjual rumah pada harga mampu milik.
“(Selain itu) pendidikan juga dijaga (menerusi langkah menyediakan) pendidikan (tinggi) percuma menjelang 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjurannya di sini hari ini.
Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bakal disenarai sebagai acara tahunan Sarawak – Abdul Karim
Majlis turut dihadiri Abang Johari dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
Mengulas lanjut, Khere Chiang berkata, apa yang dilaksanakan serta dirancang oleh Kerajaan Sarawak itu bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat melalui pengurangan kos sara hidup rakyat.
“Dalam erti kata lain, kita meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat Sarawak,” jelas beliau. -TVS