GAZA, 11 Feb: Seorang kanak – kanak perempuan Palestin yang hilang selepas kereta keluarganya oleh tentera Israel disahkan maut.
Kali terakhir Hind Rajab, 6, dilihat ialah kira-kira dua minggu yang lalu ketika dia terperangkap dalam kereta berkenaan bersama ahli keluarganya ketika mereka cuba melarikan diri dari Bandar Gaza.
“Hind dan semua orang di dalam kereta telah terkorban,” kata datuk gadis itu, Baha Hamada kepada AFP.
Ahli keluarga menemukan mayat Hind Rajab apabila mereka pergi ke Tel al-Hawa untuk mencari kereta berkenaan berhampiran sebuah stesen minyak.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan kematian Hind.
“Dia dibunuh oleh pasukan penjajah (Israel) bersama semua yang bersamanya di dalam kereta di luar stesen minyak di Tel al-Hawa,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pada awal minggu ini, ahli keluarga berkata kumpulan itu tersesat di hadapan kereta kebal Israel dan ditembak ketika mereka cuba melarikan diri.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Israel ketika dihubungi AFP enggan mengulas kejadian itu.
Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza sejak Oktober tahun lepas yang setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 27,947 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. -TVS