KUCHING, 10 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengajak seluruh rakyat di negeri ini meraikan sambutan Tahun baru Cina bersama-sama meskipun berlainan latar belakang, bangsa dan agama.
Tun Dr Wan Junaidi menyampaikan amanat berkenaan kepada pemberita sebelum beliau serta isteri, Toh Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi beredar meninggalkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
“Selamat Tahun Baharu Cina, saya menjemput semua rakyat Sarawak tidak mengira bangsa dan agama meraikan Gong Xi Fa Cai,” kata beliau.
Terdahulu, Tun Dr Wan Junaidi telah meluangkan masa sekitar sejam bersama barisan Kabinet Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan serta tetamu yang hadir hari ini.
Majlis yang dihadiri sekitar 5,000 orang pengunjung itu turut menyaksikan beliau menggaul ‘Yee Sang’ bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta tetamu kehormat lain.
Sejurus meninggalkan majlis, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri berkunjung ke kediaman Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dan kemudiannya berkunjung ke kediaman bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Hadir sama, ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin. – TVS