KUCHING, 10 Feb: Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Sarawak bakal disenaraikan sebagai acara tahunan dalam Kalendar Acara Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sambutan yang julung kali diadakan pada tahun ini akan diraikan seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak.
“Saya memang menyokong kerana saya dapat melihat kebaikannya, sebelum ini hanya diadakan di peringkat parti dan persatua, ini adalah pertama kali diadakan di peringkat negeri dan tidak salah untuk diadakan setiap tahun.
“Insha-Allah acara ini akan dimasukkan dalam kalendar tahun depan sekiranya ia diangkat sebagai acara tahunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini. – TVS