KUCHING, 10 Feb: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan menyifatkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai pemimpin untuk semua kaum di Sarawak.
Menurut beliau, keperibadian Abang Johari jelas memancarkan berwawasan serta berpandangan jauh seiring sasaran untuk Sarawak maju setanding dengan negara kelas pertama di dunia.
“Saya berpandangan beliau mahu digambarkan sebagai seorang pemimpin untuk semua kaum dan bukannya kumpulan tertentu. Saya rasa inilah yang kita cuba lakukan selama ini dimana semua bekerjasama.
“Kita merupakan wilayah yang bersatu padu dan saya dapati kepimpinan Premier Sarawak adalah masa depan untuk Sarawak di mana beliau mendapat sokongan mandat penuh rakyat.
“Beliau juga berpandangan jauh seperti yang anda lihat projek yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak sangat jauh mendahului orang lain.
“Jadi, saya fikir dia membawa Sarawak ke arah yang betul dengan semangat dan keinginannya yang kuat dan tiada lagi yang menghalangnya,” katanya.
Beliau berkata dmeikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Abang Johari serta isteri Puan Sri Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Kuching pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan.
Dalam pada itu, George Chan juga menyeru golongan muda untuk terus mengamalkan amalan kunjung-mengunjung yang telah menjadi tradisi rakyat Sarawak sejak dahulu lagi.
“Untuk terus kekalkan tradisi kunjung-mengunjung ketka musim perayaan terutamanya sambutan Tahun Baru Cina, jadikan tradisi itu sebagai satu perkara yang menyeronokkan dan juga bermakna.
“Itu adalah dua perkara yang paling penting jika ia bermakna dan tidak menggembirakan orang, saya rasa orang akan melupakannya dan saya fikir mengapa orang Cina sahaja perlu menyambut perayaan ini kerana saya anggap semua kaum di Sarawak boleh meraikannya. Jadi, saya beranggapan warga Sarawak mengamalkan tradisi itu dengan baik sekali,” ujarnya lagi.
George Chan merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri di bawah pimpinan bekas Ketua Menteri dan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta pernah memegang beberapa portfolio Kabinet iaitu Menteri Pelancongan dan Warisan serta Menteri Pembangunan Perindustrian pada tahun 2009.
Beliau turut bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau dari tahun 1983 hingga 2011. – TVS