KUCHING, 10 Feb: Kapal layar Suntess disyaki mengalami kebocoran ketika dalam perlayaran ke Lungsod Ng Bacolod, Filipina dari Pelabuhan Bintulu, awal pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata pihaknya telah menerima aduan sekitar jam 4.23 pagi mengenai insiden itu dan terus mengaktifkan Op carilamat kapal layar tersebut.

Katanya pengadu Wang Zhenzhen, warga China telah membuat aduan mengenai kapal layar Suntess yang telah mengalami kebocoran ketika dalam pelayaran ke Lungsod Ng Bacolod, Filipina dari Pelabuhan Bintulu.
“Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) juga telah dimaklumkan terdapat dua kru terdiri daripada seorang warga China dan seorang lelaki warga Saint Kitts and Nevis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, anggota Maritim tiba di lokasi pada pukul 6.25 pagi sejurus itu membantu melakukan kerja mengepam air keluar dalam badan kapal bagi mengelakkan ia tenggelam.
“Setelah lima jam operasi dilakukan pasukan Maritim Malaysia berjaya mengawal kebocoran dan kebanjiran, seterusnya kapal layar tersebut berjaya dibawa menuju ke Jeti PGM Jepak sekitar pukul 2 petang hari ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar entiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut terutamanya pada musim Monsun Timur Laut (MTL) dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan ketika di laut,” katanya.
Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera. -TVS