KUCHING, 9 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijadual menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), esok.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut dijadual ke majlis anjuran Kerajaan Sarawak yang julung kali diadakan itu.
Tun Dr Wan Junaidi serta isteri dijadual tiba pada 10 pagi, manakala Abang Johari serta isteri pada 9.55 pagi.
Majlis yang bermula 9 pagi dan berakhir pada 3 petang itu, akan turut diserikan dengan kehadiran menteri-menteri dan orang kenamaan.
Tetamu kehormat akan menggaul ‘Yee Sang’. Hadirin akan dipertontonkan dengan persembahan tarian naga dan singa.
Orang ramai diajak hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.