KUCHING, 9 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan ciri-ciri pada Tahun Naga akan dicontohi penduduk di negeri ini dalam memastikan 2024 menjadi satu lagi tahun yang cemerlang buat Bumi Kenyalang.
Menurut Abang Johari, tahun 2024 memperlihatkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang dengan Sarawak berada di landasan tepat bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030 dengan negeri ini mempunyai kekuatan dari segi kestabilan politik dan kesepaduan sosial.
Perkembangan itu kata Abang Johari membolehkan Kerajaan Sarawak merancang serta melaksanakan projek berimpak termasuk pengambilalihan beberapa entiti.
Jelasnya, terdapat tiga perkara utama yang menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak dalam melangkah ke tahun 2024, iaitu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, mempunyai syarikat penerbangan sendiri dan mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan.
“Kita ingin mengambil semula Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, ini bukan sahaja kerana ia sepatutnya berada di bawah kuasa Sarawak mengikut perlembagaan tetapi juga kerana Sarawak perlu merancang secara menyeluruh pembangunan pelabuhannya yang merangkumi keseluruhan negeri termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber.
“Kedua, kita memasang impian untuk mempunyai syarikat penerbangan bertujuan bukan sahaja untuk menyediakan laluan ke destinasi terpilih di rantau Asia tetapi ia juga sebagai pelaburan dalam mewujudkan hubungan udara antara Sarawak dan seluruh wilayah bagi meningkatkan perniagaan dan pelaburan di negeri ini.
“Ketiga, kita mahu mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan untuk menyediakan Sarawak platform kewangan bagi meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan PKS dan keusahawanan,” katanya menerusi perutusan sempena Tahun Baru Cina.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap potensi tenaga suria dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam memacu Sarawak sebagai sebuah negeri maju.
Persekitaran progresif pembangunan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini cukup jelas apabila pelabur, tokoh korporat, bank dan duta luar menyatakan minat mereka untuk bekerjasama dengan Sarawak.
“Tahun lepas merupakan tahun yang baik apabila kita mencapai beberapa perkara yang telah dirancang, terutamanya penubuhan Dana Kekayaan Negara dan Masa Depan Sarawak (SSWF) dengan modal permulaan RM8 bilion dan peruntukan tahunan progresif antara RM400 juta hingga RM600 juta sehingga 2034 daripada kerajaan Sarawak.
“Lembaga dana akan melaporkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan peruntukan bahawa tiada pengeluaran untuk 20 tahun akan datang di bawah normal keadaan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan di sebalik penubuhan SSWF memandangkan Sarawak mempunyai simpanan yang kukuh dan pendapatan terus meningkat saban tahun dengan 2023 merekodkan hasil sebanyak RM13.3 bilion. – TVS