KUCHING, 8 Feb: TVS bakal menyajikan pelbagai program menarik bagi menyerikan sambutan Tahun Baru Cina 2024 tahun ini dengan menampilkan bakat tempatan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang berkata, program tersebut juga seiring dengan hala tuju stesen televisyen pertama milik Sarawak itu dalam usaha untuk memperbanyakkan lagi kandungan dan mempromosikan bakat tempatan.
“Apabila kita melibatkan bakat tempatan dalam menghasilkan tayangan seperti telemovie, drama dan rancangan bual bicara apa yang penting adalah kita perlu memperkasakan promosi.
“Tanpa promosi dan hanya memberi fokus kepada pembikinan drama sahaja, penonton tidak akan mengetahui kandungan dan siapa pelakon yang terlibat.
“Oleh itu, kami akan berusaha untuk terus meningkatkan usaha promosi program-program kami mulai suku pertama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis TVS Chinese New Year Media Junket, di sini, pada Rabu.
Selain mengasah bakat tempatan beliau mendedahkan, beberapa program sokongan dan aktiviti bakal dirancang untuk menjayakan hala tuju berkenaan.
Beliau memberitahu TVS bakal mengadakan program pertukaran dalam kalangan kakitangannya dengan beberapa buah stesen televisyen dari negara lain sebagai inisiatif untuk menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman dalam bidang penyiaran.
“Kami juga mempunyai cadangan untuk mengadakan program pertukaran dengan beberapa buah negara seperti Jakarta, Singapura, dan Thailand.
“Oleh hal yang demikian, kami memerlukan program berkualiti dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu untuk menarik lebih ramai penonton untuk melihat program yang disiarkan oleh kami.
“Seperti contoh, di Jakarta kami memerlukan program dalam Bahasa Melayu, dan di Singapura, kami memerlukan dalam Bahasa Inggeris,” ujarnya.
Untuk rekod, terdapat dua buah telemovie yang akan menemui peminat setia TVS adalah; Lunar New Year Eve yang akan disiarkan pada 9 Feb (Jumaat) pada jam 9.15 malam dan Zombie Fatt Cai pula pada 10 Feb pada 8.45 malam.
Seterusnya terdapat drama enam episod bertajuk ‘Wedding Stone‘ yang menampilkan keistimewaan tersendiri serta bakal menemui peminat bermula pada 14 Feb, setiap jam 9.30 malam dan rancangan bual bicara (talk show) ‘The Year Of The Dragon 2024‘ akan bersiaran dengan empat episod bermula pada 9 hingga 12 Feb pada 6.15 pm.
Serikan Tahun Baharu Cina anda dengan program-program menarik mulai 9 Februari ini hanya di TVS saluran 122 MyTV, UnifiTV dan Astro. – TVS