KUCHING, 8 Feb: Sejumlah RM50,000 disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Chung Hua No.4 Kuching di Jalan Nanas bagi menaik taraf sistem pintar sekolah yang terjejas akibat disambar petir, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.
“Sekolah ini memiliki sistem pintar, tetapi bila peranti tersebut disambar petir pada beberapa bulan yang lepas telah mengakibatkan sistem tersebut rosak.Jadi pihak sekolah dalam usaha mengumpul dana untuk membaikinya iaitu sekitar RM150,000 secepat mungkin.
“Kemungkinan Ahli Parlimen Petrajaya Datuk Seri Fadillah Yusof akan memberikan sedikit sumbangan. Sekarang ini mereka sudah mula membayar pendahuluan untuk membaikinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengagihan ‘angpau’ serta bantuan makanan kepada pelajar sempena Tahun Baru Cina di Dewan SJK Chung Hua No 4 Kuching di sini, hari ini.
Ibrahim dalam pada itu mendedahkan sumbangan kepada SJK Chung Hua No.4 dan SJK Chung Hua Middle School hari ini bertujuan untuk meringankan beban pelajar dalam meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
“Sebanyak 50 pelajar yang memerlukan telah menerima sumbangan bersempenan dengan Tahun Baru Cina. Kita mahu mereka meraikannya dengan gembira dan ceria seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.
Tambahnya, bantuan tersebut diberikan tanpa mengira agama dan bangsa selari dengan konsep perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum dalam meraikan kepelbagaian perayaan di negeri ini.
Sementara itu, Guru Besar SJK Chung Hua No.4 Kuching, Pui Tung memberitahu sistem pintar tersebut digunakan oleh sekolah untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang interaktif di 36 buah bilik darjah.
Menurutnya sebanyak 17 daripada 36 set sistem pintar terjejas akibat petir pada 15 Oktober 2023 lalu.-TVS