KUCHING, 8 Feb: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) bukan pertubuhan yang bersifatkan politik tetapi bertujuan memperkasakan belia di negeri ini.
Presiden SABERKAS Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, malah jawatankuasa tertinggi SABERKAS dianggotai pelbagai kaum.
“Mana-mana yang terlibat dalam blok pembangkang mahupun dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), mereka ada dalam SABERKAS.
“Malah mereka yang pernah bertanding menentang kita pada pilihan raya pun ada juga dalam Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) SABERKAS,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Negeri Sarawak Ke-57 di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata SABERKAS bukan sahaja melatih belia menjadi pemimpin malah menyatukan semua kaum.
“Kita berusaha untuk membangunkan belia-belia kita melalui SABERKAS, sekali gus menjadikan Sarawak lebih maju pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dan SABERKAS akan bekerjasama dalam mengangkat serta membawa kepimpinan belia di negeri ini ke arah yang lebih tinggi.
“Kita juga berbincang tentang program dan aktiviti yang akan diadakan pada tahun ini dan kita akan berusaha untuk membawa belia Sarawak bukan sahaja memikir dan melihat dari perspektif Sarawak sahaja, kita juga mahu kepimpinan belia Sarawak terlibat dalam kepimpinan antarabangsa,” katanya.