BINTANGOR, 9 Feb : Keterujaan jelas terpancar pada wajah pelajar daripada 15 buah sekolah rendah di daerah ini setelah menerima bantuan kelengkapan persekolahan hari ini.
Sumbangan berupa pakaian seragam sekolah, kasut dan beg itu disampaikan kepada lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), lapan Sekolah Kebangsaan (SK) dan sebuah pra sekolah di sini.
Difahamkan inisiatif Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii itu bertujuan untuk meringankan beban para ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu yang bermula tidak lama lagi.
Menurut wakil Tiong Sii, Gung Chiu Kion yang menyampaikan sumbangan berkenaan hari ini pengagihan sumbangan dilaksanakan secara berperingkat sejak Selasa lalu.
“Bantuan ini tidak hanya untuk murid kurang berkemampuan di Bintangor tetapi juga di Sarikei,” katanya sambil menekankan sumbangan sedemikian merupakan tradisi Tiong Sii sejak menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut dan tidak bersifat bermusim.
Turut hadir Kapitan Kiu Chiong Chui, Pegawai Pusat khidmat Sarikei, Sia Huong Chuong dan Wong Soon Mee.- TVS