KOTA SAMARAHAN, 8 Feb: Masyarakat diminta untuk melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sekiranya terdapat taska atau tadika yang beroperasi secara tidak berdaftar di kawasan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus menegaskan bahawa tindakan segera akan dikenakan terhadap pengurusan taska dan tadika tersebut.
“Ini daripada Jabatan Kebajikan kita untuk taska, satu daripada tindakan adalah menghantar surat, sampai tiga kali. Kemudiannya tindakan lanjut dari segi undang-undang akan diambil.
“Sebab itu kita memerlukan maklum balas daripada masyarakat, lapor jika terlihat ada taska, tadika yang mencurigakan supaya pihak kebajikan akan memantau dan menggalakkan untuk pendaftaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan Taska di Rumah IQ Cerdik, di sini hari ini.
Ketika disoal berkaitan faktor terdapat taska dan tadika masih liat untuk mendaftar dengan JKM, Rosey mendedahkan proses pendaftaran yang melibatkan pelbagai agensi selain ada antaranya pemilik enggan untuk dipantau merupakan punca yang dikenal pasti.
“Secara umumnya mereka yang tidak mahu berdaftar ini satu dia tidak mahu bersusah payah nak isi borang apa semua.
“Yang kedua, mungkin mereka tidak mahu dipantau. Itu di antaranya juga. Tidak mahu dipantau sebab kita memantau dari segi gurunya, dan pengasuhnya mesti ada latihan,” ujarnya.
Justeru itu, Rosey menggalakkan agar taska dan tadika di negeri ini segera mendaftar bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan contohnya seperti Geran Tahunan Khas (GTK) sekali gus menjamin kualiti guru dan tahap keselamatan anak-anak.
Setakat 31 Disember 2023, terdapat 3,033 Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) merangkumi 2,801 adalah tadika dan 232 taska di seluruh negeri telah berdaftar.
Melalui kerjasama semua agensi, Sarawak telah mencapai 98.71 peratus kanak-kanak Tahun 1 sesi 2023/2024 yang telah mengikuti pendidikan Prasekolah atau tadika.
Peratusan ini telah melepasi pencapaian 88.81 peratus di peringkat kebangsaan. – TVS