Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Mohamad Sabu melawat ke tapak sawah padi semasa Lawatan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan ke Jelapang Padi Batang Lupar di Sri Aman, hari ini. Foto TVS

Harga belian padi di Sabah, Sarawak ditetapkan RM1,300

SRI AMAN, 8 Feb: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak kepada RM1,300 per tan metrik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penetapan harga lantai padi tersebut akan berkuat kuasa pada 15 Februari 2024 sebagai langkah penyeragaman harga di dua negeri tersebut dengan Semenanjung.

Pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak agak rendah, iaitu minimum RM750 per tan metrik.

“Langkah penyeragaman harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung ini selaras hasrat kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

“Penetapan ini mampu membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan pesawah untuk meningkatkan pengeluaran padi,” katanya semasa berucap pada majlis sempena lawatan ke Jelapang Padi Batang Lupar di Dewan Nangkai Stumbin di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA) Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau turut menyalurkan pakej bantuan mekanisasi kepada syarikat-syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) di Tanjung Bijat dan Koperasi Pertanian Sri Aman Berhad bernilai RM810,000.00.

Sementara itu, Mohamad mahu pemain industri bekerjasama erat dengan kerajaan dalam usaha memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan sentiasa menggalakkan penglibatan kerajaan negeri termasuk graduan universiti dalam usaha meningkatkan produktiviti padi khasnya di Sarawak.

Katanya, kejayaan dalam pelaksanaan program tersebut penting bagi memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa cukup dan terjamin sekaligu mengelakakn Malaysia daripada terus bergantung kepada import beras putih.

“Sebab itulah soal keterjaminan makanan kita kena berganding bahu bersama dengan graduan ataupun kerajaan negeri mesti sepakat untuk menjayakan program ini.

“Beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia walaupun berdekad lamanya terlibat dalam pengeluaran padi dan beras negara kita masih bergantung kepada beras putih import,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan