KUCHING, 8 Feb: Seiring aspirasi Kerajaan Sarawak ke era baharu insiatif ekonomi hijau pada masa kini, pihak bertanggungjawab di sebalik pelaksanaan inisiatif murni ini, termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) harus berintegriti tinggi serta berkomitmen tinggi.
Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir berkata tahap integriti harus berada pada tahap 100 peratus bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Sarawak.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan begitu banyak penekanan pada integriti sejak penubuhan SEDC.
“Di SEDC, budaya integriti merupakan agenda utama kami. Kita harus mempunyai rekod yang bagus agar pelabur tidak meragui peluang pelaburan di sini yang mana kebanyakannya merupakan inisiatif Premier Sarawak,” katanya menerusi rancangan temu bual terbitan TVS, Dialog TVS yang disiarkan malam ini.
Ujar beliau lagi, sekiranya integriti diabaikan, apa jua perkara yang dilakukan hanyalah sia-sia.
Memetik usaha Premier Sarawak yang telah melakukan lawatan kerja ke Sweden untuk memperkasakan peranan dan fungsi ombudsman melalui penggubalan Ordinan Ombudsman Sarawak, beliau menyifatkan ia merupakan contoh integriti yang berfungsi.
“Saya fikir dengan kini wujudnya institusi Ombudsman sebagai sebuah agensi kementerian yang mempromosikan integriti serta memastikan semua agensi kerajaan dan anak-anak syarikat mengamalkan inisiatif ini, sudah pasti ia langkah tepat dalam menyerlahkan Sarawak di kalangan agensi negeri lain di Malaysia.
“Sebagai sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam membangunkan projek-projek kerajaan, kami komited meletakkan SEDC pada platform tertinggi pelaksanaan nilai integriti dalam kalangan semua kakitangan kami,” katanya.