Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
MOT berkata tujuan utama larangan itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian. Envato.

AKPK titip prinsip Bruce Lee menerusi tip jimat wang sempena Tahun Baru Cina

PERAYAAN Tahun Baru Cina akan disambut pada hujung minggu ini dan ia sekali gus menandakan permulaan Tahun Lunar Cina.

Tahun Baru Cina ibarat membuang yang lama dan lapuk serta mengalu-alukan yang baharu dan baik. Lantas, ia menjadi masa yang sangat bermakna untuk perjumpaan dan jamuan keluarga lebih-lebih lagi jika ia dirancang dengan baik.

Mungkin apa yang istimewa bagi kebanyakan orang Cina, Tahun Lunar kali ini ialah Tahun Naga yang melambangkan kekuasaan, kemuliaan, kepimpinan, kehormatan, serta tuah dan kejayaan. Malah, naga sering dianggap sebagai haiwan zodiak Cina yang paling disanjung sehingga maharaja daripada dinasti-dinasti yang besar dilihat sebagai penjelmaan semula naga.

Itu pada zaman dahulu, kalau zaman ini, anda mungkin kenal susuk tubuh yang terkenal dengan panggilan ‘Little Dragon’. Beliau dilahirkan pada Tahun Naga, malah dilahirkan pada Hari Naga dan Waktu Naga. Ya, betul, beliau ialah Bruce Lee.

Sama ada anda dilahirkan pada Tahun Naga atau tidak, perayaan Tahun Baru Cina pasti akan melibatkan keputusan kewangan terutamanya semasa anda membuat persediaan untuk membeli pakaian baru, stok barangan runcit untuk jamuan, membeli makanan ringan untuk tetamu dan memperuntukkan sedikit bajet untuk angpau.

Bagaimanapun, tidak semua perayaan perlu bermewah-mewah, walaupun anda seorang ‘Naga’, kerana melakukan sesuatu sekarang yang hanya akan melambatkan anda daripada mencapai matlamat kewangan pada masa hadapan tidak menggambarkan kuasa atau tuah sang naga. Ingatlah bahawa anda masih boleh menyambut Tahun Baru Cina dengan bermakna tanpa perlu mengorbankan keseronokan dan juga menipiskan poket.

Sempena tahun zodiak Bruce Lee (Tahun Naga berikutnya adalah pada 2036), di bawah ialah tiga petikan kata-kata ahli seni mempertahankan diri dan bintang filem tersebut tentang kehidupan untuk mengiringi lima tip untuk menjimatkan wang yang boleh anda praktikkan semasa perayaan ini.

Jika anda mencintai kehidupan, jangan buang masa, kerana masa ialah apa yang membentuk kehidupan.

Petikan ini merangkumi dua tip penjimatan yang berkaitan dengan masa. Malah, banyak aspek pengurusan kewangan menekankan kepentingan melakukan sesuatu lebih awal.

 

1. Belanja Lebih Awal; Ia Menjimatkan Wang

Semakin dekat Tahun Baru Cina, semakin mahal kebanyakan barangan perayaan. Jangan berlengah-lengah untuk pergi ke salun, contohnya, atau ke pasar raya, pergilah lebih awal. Secara tradisinya, pakaian baharu, bunga hiasan, makanan laut kering dan makanan istimewa yang lain dibeli untuk Tahun Baru Cina, namun terpulang kepada anda dan bajet anda untuk memutuskan jumlah yang perlu dibelanjakan.

Sesetengah barangan boleh dibeli lebih awal, atau ketika jualan murah. Anda boleh menghasilkan barang hiasan dengan cara buat sendiri (DIY) daripada terus membeli yang baharu. Buat projek kraf sendiri bersama keluarga untuk menghias rumah menggunakan paket merah yang dibeli dengan harga yang lebih murah berbanding dengan membeli koleksi kraf yang siap direka bentuk. Sekali lagi, semuanya terpulang kepada anda — mengikut kemampuan atau perancangan yang dibuat lebih awal. Namun, anda boleh sahaja memilih untuk berjimat walaupun mampu terutamanya apabila anda mempunyai matlamat kewangan yang lebih besar untuk dicapai pada masa hadapan.

 

2. Rancang Perjalanan Anda Awal-Awal

Selalunya ada yang merancang untuk pergi bercuti semasa Tahun Baru Cina. Lawatan berkumpulan, tiket penerbangan dan harga hotel selalunya naik semasa musim cuti, maka perbelanjaan perjalanan untuk seisi keluarga mungkin jauh lebih tinggi daripada biasa. Anda boleh mengambil pakej lawatan tempatan atau tempah perjalanan dan hotel anda lebih awal untuk mengurangkan kos. Jika anda rasa sudah terlambat untuk berbuat demikian tahun ini, rancang lebih awal untuk tahun hadapan. Ambil cuti awal untuk mengelakkan kesesakan yang teruk di lebuh raya pada musim perayaan. Sesetengah pasangan mungkin membuat keputusan untuk bergilir-gilir meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, sehingga dua kali, kerana ingin pulang berjumpa dengan keluarga di dua lokasi yang berbeza.

“Ibarat menuding ke bulan, jangan menumpukan perhatian pada jari sehingga terlepas segala keindahan di langit.”

Ini ialah petikan daripada dialog Bruce Lee dalam filemnya, ‘Enter the Dragon’. Antara maksudnya ialah, anda seharusnya tidak terlalu fokus melakukan sesuatu sehingga terlepas objektif (atau maksud dalam melakukannya). Dari segi pengurusan kewangan, jika anda boleh mencapai objektif atau maksud yang sama dengan alternatif yang lebih murah, pilih alternatif tersebut, tetapi jika anda masih perlu memilih yang lebih mahal, dengan alasan yang wajar, rancang pembelian tersebut terlebih dahulu. Di bawah ialah dua tip penjimatan yang membawa tumpuan anda kepada objektif dan maksud melakukan sesuatu, bukan hanya sekadar melakukannya atau terikut-ikut trend semasa.

 

3. Atur Juadah Bawaan (Pot Luck)

Anda mungkin sedar ketika menanyakan harga di restoran untuk makan malam bersama keluarga di ambang Tahun Baru Cina bahawa harga untuk hidangan yang ditetapkan mungkin agak mahal. Tambahan lagi, masa yang diberikan untuk anda menikmati hidangan dan berlama-lama dengan keluarga selepas itu pun terhad kerana mereka perlu membersihkan meja untuk pelanggan seterusnya. Daripada tergesa-gesa makan malam bersama dan perlu pula membayar harga yang mahal, anda mungkin mahu mempertimbangkan untuk makan malam di rumah anda sendiri. Suasananya lebih kondusif untuk perbualan yang selesa bersama semua yang membawa hidangan ‘pot luck’. Selain itu, makanan yang dimasak di rumah membawa kemesraan tambahan kepada perayaan Tahun Baru Cina kerana itulah cara makan malam bersama keluarga bermula pada asalnya.

 

4. Angpau

Pertimbangkan keadaan kewangan dan bajet anda dengan teliti sebelum memutuskan jumlah yang akan anda masukkan ke dalam paket merah (disebut laisee dalam bahasa Cina) untuk diagihkan semasa Tahun Baru Cina. Jumlah wang yang dihulurkan kepada sekumpulan besar ahli keluarga, saudara-mara dan anak-anak rakan akan benar-benar terasa banyaknya jika anda tidak berhati-hati. Angpau sebenarnya diberikan bagi menyampaikan ucapan selamat untuk tahun hadapan — maka ingatan itulah yang penting (walaupun anda cenderung untuk mempercayai bahawa jumlahlah yang penting buat penerima).

“Semakin banyak kita menghargai benda, semakin kurang kita menghargai diri sendiri.”

Prinsip Bruce Lee ini sebenarnya boleh menjadi prinsip asas dalam pengurusan kewangan dan harus difahami oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak pada usia seawal mungkin. Sememangnya mudah diterima akal bahawa kita cenderung untuk berbelanja secara berlebihan jika kita terlalu mementingkan benda (materialistik). Sebaliknya, jika kita menghargai diri sendiri dan erti hidup yang ingin kita capai — lebih daripada benda — kita cenderung untuk berbelanja dengan bijak. Menghargai diri dan erti hidup bermaksud kita lebih cenderung untuk menyimpan demi masa hadapan, membelanjakan wang (atau menggunakan kredit) untuk perkara yang mustahak dan bermakna, dan berkongsi sebahagian daripada apa kita kita dapat dengan mereka yang kurang bernasib baik.

 

5. Sistem Pengurusan Wang Tiga Kotak

Untuk mengajar prinsip Bruce Lee kepada anak-anak kita, minta mereka uruskan wang angpau yang mereka terima sebaik sahaja perayaan Tahun Baru Cina berakhir. Pendidikan kewangan harus bermula dari awal dan inilah peluang yang baik untuk mengajar mereka cara mengendalikan sejumlah besar wang yang mereka ada sebagai asas pengurusan kewangan yang betul. Agihkan jumlah itu ke dalam tiga kotak, iaitu ‘Simpan’, ‘Belanja’ dan ‘Kongsi’ dengan memperuntukkan, sebagai contoh, 30 peratus untuk disimpan, 60 peratus untuk dibelanjakan dan 10 peratus untuk dikongsikan dengan orang lain (belanja kawan aiskrim termasuk dalam peruntukan 10 peratus tersebut). Malah, jangan hadkan sistem ini kepada wang angpau. Gunakan sistem tiga kotak ini untuk wang saku sekolah mereka sepanjang tahun bagi memupuk budaya pengurusan kewangan yang berhemat di rumah.

Inilah lima tip yang boleh anda praktikkan untuk menjimatkan perbelanjaan perayaan Tahun Baru Cina, disertai dengan tiga petikan kata-kata Bruce Lee untuk kehidupan yang bermanfaat dan bermakna.

Semoga Tahun Naga ini membawakan anda pengalaman, pembelajaran dan keuntungan yang banyak — bukan sahaja dari segi material tetapi juga erti hidup supaya anda boleh benar-benar menikmati ketenangan minda (naga pun memerlukan tidur malam yang nyenyak).

Selamat Tahun Baharu Cina daripada kami semua di AKPK!

Artikel sumbangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan