KUCHING, 7 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Mufti Sarawak yang diketuai oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yasin.
Kipli berkata, kunjungan berkenaan antara lain untuk memaklumkan berkaitan isu fatwa dan ilmu falak.
Kata beliau, ini supaya Tun Dr Wan Junaidi mendapat maklumat terkini berhubung fatwa-fatwa yang dikeluarkan dan diputuskan oleh Majlis Islam Sarawak melalui Lembaga Fatwa Sarawak.
“Dalam konteks ini, terdapat juga penjelasan bagaimana proses fatwa dijalankan dan penjelasan hukum di Sarawak kepada Tuan Yang Terutama.
“Alhamdullilah, Tun Dr Wan Junaidi sebenarnya sudah sedia maklum berkaitan hal ini,” katanya kepada pemberita.
Pada kunjungan berkenaan, Tun Dr Wan Junaidi turut ditemani isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Sementara itu Kipli berkata, beliau turut menerangkan fungsi dan peranan Jabatan Mufti Sarawak berhubung ilmu falak.
“Antara fungsi utama adalah tentang proses cerapan untuk melihat anak bulan Ramadan, Syawal, Zulhijjah dan sebagainya.
“Proses ini juga kita jelaskan dan kriteria yang diguna pakai di Malaysia,” tambahnya.
Beliau memberitahu, pada pertemuan berkenaan, Jabatan Mufti Sarawak turut menjelaskan tentang projek Pusat Falak Miri dan Pusat Falak Bintulu.
“Insya-Allah, Pusat Astronomi Borneo akan dijadikan sebagai satu pusat penyelidikan serta pendidikan yang menyumbang kepada aspek pelancongan dan astronomi di Sarawak,” jelasnya. -TVS