KUCHING, 7 Feb: Sarawak dicadangkan sebagai tuan rumah bagi satu mesyuarat penting ASEAN pada tahun hadapan.
Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak di Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli, berkata perkara berkenaan telah dinyatakan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
“Antaranya perancangan untuk Sarawak menjadi tuan rumah pada salah satu mesyuarat penting ASEAN pada tahun hadapan dan juga kunjungan hormat duta-duta besar asing di Sarawak dan pelbagai rancangan yang dibincangkan telah diperhalusi dengan pegawai-pegawai yang berkenaan bersama Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada Rabu.
Fenny sebelum ini merupakan Duta Besar Malaysia di Pejabat Malawakil Lima, Peru kini menggalas tugas di Pejabat Wilayah Sarawak di Kementerian Luar Negeri bermula 2 Januari lalu. – TVS