KUCHING, 7 Feb: Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sudah siap hampir 99 peratus dan dijangka akan dibuka selewat-lewatnya Mei ini.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, satu peratus lagi yang belum siap hanya melibatkan kerja-kerja kecil.
“Insya-Allah tahun ini kita akan buka, masih ada sedikit kerja-kerja kecil perlu disiapkan, mungkin dalam bulan April atau bulan Mei kita akan membuka Pusat Kesihatan Prima kita.
“Tertakluk kepada JKR dan juga pihak pemaju, dalam tahun ini kita akan buka untuk kegunaan staf dan juga penduduk di sekitar Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tujuan wakaf kesihatan.
Katanya, ia akan memberi manfaat kepada para pesakit kronik yang memerlukan bantuan kesihatan di sekitar UNIMAS, Kuching dan Samarahan yang dirawat di Hospital Umum Sarawak dan Hospital UNIMAS nanti.
“Beberapa perkara berkaitan dengan pembukaan tersebut dengan wakaf kesihatan yang Amat Berhormat Premier telah bersetuju untuk memberi dalam RM5 juta untuk inisiatif wakaf kesihatan bagi pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan kesihatan di Pusat Premier kita yang berasal di sekitar UNIMAS dan juga di sekitar Kuching, Samarahan.
“Apa yang kita beritahu Premier sempena kunjungi ini ialah pelaksanaan pusat kesihataan ini,” ujarnya.
Kunjungan hormat ini merupakan yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Naib Canselor UNIMAS ketujuh pada 8 Januari lepas. – TVS