KUCHING, 7 Feb: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan mempertingkatkan penggunaan gas asli di wilayah ini melalui aktiviti nilai tambah sektor berkenaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak itu akan menarik lebih banyak penyertaan daripada pemain industri tempatan dan asing bagi memupuk pembangunan ekonomi baharu.
“PETROS memainkan peranan penting dalam memudahkan penyertaan tempatan dan asing dalam sektor gas, seterusnya memupuk pembangunan ekonomi melalui aktiviti nilai tambah yang menjana peluang pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pengeluar-pengeluar gas huluan diberi mandat untuk bekerjasama rapat dengan PETROS bagi membolehkan syarikat itu memainkan peranannya sebagai Agregator Gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas.
Mandat Ordinan menggariskan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti berkaitan pengedaran gas perlu memperoleh lesen yang diperlukan, termasuk pengeluar gas.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, bertujuan untuk mencapai pertumbuhan dan kedudukan sosio-ekonomi yang mampan.
“Mandat yang diberikan juga adalah untuk menyokong dalam merealisasikan agenda pembangunan Kerajaan Sarawak seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” katanya.
PETROS dilantik sebagai Agregator Gas Sarawak di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 berkuat kuasa 1 Februari 2024.
Dengan pelantikan itu, PETROS bertanggungjawab dalam perolehan gas asli, pembangunan, operasi dan penyelenggaraan rangkaian serta sistem pengedaran gas untuk dibekalkan kepada industri dan pengguna lain di Sarawak. – TVS