SARIKEI, 7 Feb: Hasrat mengindahkan kawasan bandar terus menjadi fokus utama Majlis Daerah Sarikei (MDS) melalui pelbagai pendekatan termasuk mewujudkan taman baharu sebagai tarikan kepada pengunjung.
Antaranya Taman Awam terletak di Jalan Nanas yang dibina dengan keunikan tersendiri dengan mengetengahkan konsep perpaduan masyarakat pelbagai kaum negeri ini.
Timbalan Pengerusi MDS, Kaunselor Misiah Abu Seman berkata, pembinaan taman itu bermula tahun lalu dan siap sepenuhnya Januari tahun ini sebelum dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.
“Lokasi taman ini yang terletak di tengah-tengah pusat bandar membolehkannya mudah dikunjungi penduduk.
“Dari sudut landskapnya pula taman ini menyaksikan kewujudan beberapa pondok unik yang melambangkan masyarakat berlatarkan pelbagai kaum dan agama,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis perasmian hiasan Tahun Baharu Cina 2024 di sini, malam tadi.
Acara ringkas itu disempurnakan Andrew Wong Pak Ung yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii.
Sehubungan itu, Misiah berkata, kemudahan terkini yang disediakan MDS tersebut sedikit sebanyak menambah keceriaan bandar Sarikei sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung luar.
“Uniknya, wajah taman ini akan berubah-ubah mengikut perayaan, contohnya bulan ini kita menonjolkan konsep kaum Tiong Hua, ramai pengunjung kata, tempat ini seperi di China. Sudah pasti respons positif yang diterima itu, menjadi kebanggaan kita di Sarikei,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Kaunselor Wong Zee Yeng. -TVS