KUCHING, 7 Feb: Kerajaan Sarawak telah meminta syarikat perunding berpengalaman melakukan kajian bagi melaksanakan pembangunan teratur melibatkan kampung – kampung di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kampung – kampung berkenaan telah lama wujud namun kajian lanjut diperlukan agar pembangunannya dapat diperhebatkan lagi.
Jelas beliau, syarikat perunding berkenaan pernah mengendalikan projek serupa di Sibu.
“Kampung-kampung ini (di DBKU) tidak tersusun. Jadi saya minta konsultan yang mengendalikan di penempatan di Bukit Assek laksanakan kajian kerana mereka juga berpengalaman kendalikan projek serupa di Singapura dan Belanda.
“Kita rancang semula dan mahu menaik taraf kampung di situ seperti yang dilaksanakan di Darul Hana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kejiranan Mesra (KJM), di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, projek pembangunan semula kampung – kampung itu sangat penting bagi menjayakan konsep Bandar Pintar di Kuching.
“Kampung-kampung ini wujud sudah lama, kemudian (penduduknya) menerima geran tanah namun susunannya tidak teratur,” jelas beliau.
Sementara itu, Abang Johari berkata, projek pembangunan termasuk pengekalan budaya di Sarawak akan turut diberi perhatian.
“Kita juga diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi. Makanan juga sedap di sini. Jadi semuanya menjadi asas untuk membangunkan bandar raya kita,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada DBKU kerana berjaya memperluas KJM ke kawasan Kuching Old Town.
“Ini merupakan kawasan di mana budaya rakyat kita yang bukan Melayu dan juga Bumiputera yang lain dapat berinteraksi dengan seluruh warga DBKU.Saya yakin boleh dilaksanakan asalkan kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik,” katanya.
Turut berlangsung majlis penyampaian anugerah kepada 20 KJM bagi kategori Pengerusi KJM Contoh dan KJM Paling Aktif bagi pada 2022 dan 2023. – TVS