KUCHING, 7 Feb: Penubuhan Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan diperluaskan membabitkan Kuching Old Town pada tahun ini.
Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman berkata, kawasan baharu itu akan melibatkan Main Bazaar, Jalan Gambier, Lebuh Carpenter, Lebuh India dan Kai Joo Lane.
“Ini sebagai satu usaha melibatkan komuniti perniagaan setempat dengan pembangunan yang telah terlaksana di Kuching Waterfront.
“Insya-Allah, usaha ini akan direalisasikan pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam KJM di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hilmy menambah, peranan utama KJM adalah untuk merancang, melaksana acara dan aktiviti serta program kemasyarakatan yang dapat merapatkan perhubungan penduduk di kawasan KJM ditubuhkan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menganjurkan Sarawak Urban Forum (SUF) pada tahun ini.
Penganjuran itu jelas Hilmy susulan kejayaan Malaysian Urban Forum (MUF) 2023 pada November lepas bersama URBANICE MALAYSIA di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“SUF 2024 bakal mengumpul masyarakat dari segenap pelusuk Sarawak bagi mendengar dan membincangkan isu-isu berkaitan urbanisasi baik di peringkat Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan pekan sehingga ke bandaraya seperti Kuching dan Miri,” jelasnya.
MUF 2023 di Kuching katanya telah berjaya mengumpul lebih 8,000 warga bandar raya dan pengunjung pelbagai lapisan masyarakat. – TVS