KUCHING, 7 Feb: Penjawat awam di Sarawak disaran memahami undang-undang baharu bagi mengekalkan relevansi perkhidmatan mereka, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ini kerana perkembangan terkini telah mendorong keperluan untuk menggubal undang-undang baharu.
Kata beliau, terdapat perundangan sedia ada sudah tidak relevan dengan peredaran masa.
“Contohnya undang-undang siber, kita mesti memahaminya kerana banyak jenayah siber seperti ‘scam’ berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di sini hari ini.
Sementara itu, Abang Johari turut membangkitkan mengenai jenayah pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan berikutan semakin ramai individu ditipu.
“Di Kemboja, Myanmar, ada juga di tempat lain (jenayah pemerdagangan manusia).
“Ini bermakna undang-undang hendaklah relevan supaya kita mempunyai kaedah untuk mengalahkan pihak lawan selain mengambil langkah berwaspada sebelum sebarang perkara buruk berlaku,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Abang Johari juga mahu penjawat awam supaya memahami mengenai perdagangan karbon yang merupakan bidang baharu dalam landskap ekonomi dunia.
Sarawak katanya mempunyai kekuatan serta undang-undang tertentu yang membolehkan wilayah ini memainkan peranan dalam ekonomi baharu.
“Kita (penjawat awam) bukan sahaja ditugaskan untuk menyampaikan perkhidmatan, tetapi juga menjadi pemacu perubahan serta inovasi.
“Menerima teknologi, memberi tumpuan kepada kemampanan dan memastikan kemakmuran yang dinikmati kini dikekalkan untuk generasi akan datang,” ujarnya lanjut. -TVS